Friday, 4 June 2021

 NUR HAFIZAH BINTI MAT YAZI (D20201095604)
 KUMPULAN D 
 
 Nama Pensyarah : Professor Madya Dr.Norwaliza Binti Abdul Wahab

 TAJUK : Pengurusan Sekolah Kurang Murid (SKM) Dan Orang Asli

  Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada semua. Blog ini dihasilkan untuk     pembelajaran dan untuk memberi sedikit perkongsian tentang tajuk yang telah dibincangkan 
 iaitu pengurusan sekolah kurang murid (SKM) dan orang asli.

PENGENALAN
Sekolah Kurang Murid merupakan sekolah yang terdiri daripada sekolah yang mempunyai bilangan pelajar yang kurang daripada 150 orang pelajar. Sekolah Kurang Murid terbahagi kepaada dua iaitu gred A dan gred B. Sekolah Kurang Murid yang terdiri daripada gred A ialah sekolah yang mempunyai bilangan pelajar dalam lingkungan 101 hingga 149 orang pelajar. Manakala, sekolah kurang murid dari gred B pula mempunyai kurang daripada 100 orang murid. 

STRATEGI ATAU PELAN PENAMBAHBAIKAN SEKOLAH KURANG MURID (SKM)

Terdapat banyak strategi atau pelan penambahbaikan yang boleh digunakan oleh guru-guru yang mengajar di sekolah kurang murid (SKM). Antaranya ialah : 

-  MENGADAKAN PROGRAM

Antara program yang boleh diadakan di sekolah kurang murid adalah program Gemilang 7. Program Gemilang 7 merupakan salah satu cara untuk mengatasi kekurangan SKM dalam aspek-aspek yang diperlukan seperti sumber manusia, kemudahan asas, buku dan sumber rujukan. Program ini juga merupakan perkongsian pintar antara tujuh buah sekolah yang dikategorikan sebagai sekolah kurang murid di zon kurikulum. Program ini juga diadakan bagi menarik minat murid untuk ke sekolah mengikut jadual waktu yang ditetapkan. Antara 7 buah sekolah yang dikategorikan sebagai kurang murid di zon kurikulum 1 di daerah Segamat adalah :

1. SK Spang Loi, Batu Anam

2. SK Balai Badang, Batu Anam

3. SK Tambang, Batu Anam

4. SK Mensudut Lama, Batu Anam

5. SK Mensudut Pindah, Batu Anam

6.  SK Kampung Awat, Batu Anam

 7. SK Kemedak, Batu Anam

 Program Gemilang 7 ini juga mempunyai objektif yang tertentu seperti :

  • Memupuk semangat kerjasama antara sekolah-sekolah G7 dan masyarakat sekeliling.
  • Melahirkan insan yang gemilang dan seimbang daripada masyarakat luar bandar.
  • Mewujudkan kepimpinan yang berkesan dalam kalangan G7.
  • Mewujudkan budaya kerja yang gemilang dan terfokus melalui kepakaran dalaman dan luaran.
  • Menjadikan G7 sebagai penyumbang kepada peningkatan prestasi UPSR.
  • Menjadikan G7 sekolah yang gemilang dan berkesan.

- PEMBELAJARAN MENGGUNAKAN KOMPUTER


Kaedah pengajaran yang digunakan oleh guru-guru yang mengajar di sekolah kurang murid berbeza  daripada sekolah biasa. Guru Besar yang dilantik di sekolah kurang murid mengamalkan pembelajaran menggunakan komputer dan beliau telah mengagihkan komputer riba kepada setiap murid di sekolah tersebut. Komputer riba ini boleh digunakan secara meluas bagi tujuan pengajaran terutama dalam subjek Sains dan Matematik. Hal ini dikatakan demikian kerana, guru-guru dapat mencari maklumat yang diperlukan secara pantas dan mudah. Guru-guru juga boleh mencari formula-formula matematik yang mudah difahami oleh murid-murid. 
    Guru-guru menggunakan komputer riba yang dibekalkan oleh kerajaan di dalam kelas pada waktu sesi pengajaran dan pembelajaran. Ini kerana tiada kemudahan komputer yang disediakan di bilik darjah. Pengajaran menggunakan komputer ini sememangnya dapat memberi kefahaman yang utuh terhadap murid-murid kerana kaedah ini lebih mudah dan menarik. Murid-murid juga dapat belajar dengan seronok tanpa stress. Di samping itu juga, disebabkan bilangan murid yang kurang, murid berpeluang untuk berinteraksi dengan guru dengan lebih mudah dan sekaligus guru juga dapat memberi perhatian sepenuhnya kepada murid-murid dalam kelas tersebut. 

- MENYEDIAKAN KEMUDAHAN DI PERPUSTAKAAN SEKOLAH


Perpustakaan merupakan sebuah tempat yang menyimpan atau menyediakan pelbagai sumber bahan maklumat. Kemudahan perpustakaan merupakan sesuatu yang tidak asing bagi sesebuah sekolah tidak kira sama ada di sekolah biasa atau sekolah kurang murid. Pihak sekolah perlu menyediakan pelbagai jenis bahan bacaan seperti buku rujukan, buku cerita dan buku-buku yang berkaitan dengan matapelajaran yang terdapat di sekolah kurang murid. Hal ini kerana, murid-murid dapat mencari bahan maklumat yang diperlukan di perpustakaan sekolah. Guru-guru juga boleh mengadakan pertandingan seperti mewarna, kuiz dan Program NILAM mengikut kategori. Melalui pertandingan ini, akan dapat menarik minat murid untuk berkunjung ke perpustakaan. 
    Selain itu, perpustakaan di sesebuah sekolah juga menyediakan kemudahan televisyen bagi menggalakkan murid untuk menonton rancangan atau info yang berkaitan dengan pendidikan. Perpustakaan juga perlu menyediakan satu ruang khas yang kondusif bagi murid-murid supaya mereka dapat belajar dengan lebih tenang tanpa sebarang gangguan. Walaubagaimanapun, keluasan perpustakaan di sekolah kurang murid adalah kecil disebabkan oleh peruntukkan dan sumbangan yang diberi daripada pihak swasta sangat terhad. Pihak sekolah memerlukan dana yang lebih banyak untuk menampung perbelanjaan untuk membuat satu ruang perpustakaan yang besar. Oleh yang demikian, perpustakaan hanya digunakan untuk membaca dan meminjam buku. 

- KAEDAH PENGAJARAN YANG BERASASKAN KUMPULAN 


Guru-guru di sekolah kurang murid menggunakan kaedah kumpulan terhadap murid-murid. Murid akan membentuk kumpulan kecil dan ahli kumpulan sekurangnya 3 orang dalam satu kumpulan. Hal ini dikatakan demikian kerana, kaedah kumpulan ini dapat memberi penekanan kepada murid-murid terhadap pembelajaran sesuatu subjek. Guru-guru juga dapat memastikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan. Guru yang terlibat perlu memilih dan merancang strategi pengajaran yang sesuai untuk menyelenggarakan bilik darjah dan suasana pembelajaran akan menjadi seronok. 
    Guru-guru juga menggunakan bahan bantu mengajar yang lain bagi memantapkan lagi pengajaran di sekolah. Antara bahan bantu mengajar yang digunakan oleh guru-guru ialah carta-carta yang berkaitan dengan topik yang diajar , memuat turun bahan bantu daripada 'schoolnet' iaitu laman web kepunyaan Kementerian Pelajaran Malaysia. Ini dapat membantu murid-murid memahami  sesuatu pelajaran atau topik dengan mudah. Di samping itu juga, guru menggunakan gambar-gambar dan kad-kad yang dibuat sendiri bagi murid tahap rendah untuk mengukuhkan pemahaman mereka. 

PENUTUP
Pendidikan di Sekolah Kurang Murid dan Sekolah Orang Asli di Malaysia hendaklah diberikan perhatian yang sewajarnya oleh Pihak Kementerian Malaysia (KPM). Semua pihak juga perlulah memainkan peranan penting bagi memastikan Sekolah Kurang Murid dan Sekolah Orang Asli dapat berfungsi dengan baik seperti sekolah biasa. 

RUJUKAN

1) GPSBestari, (2018). Ini yang perlu cikgu lalui bila mengajar di sekolah kurang murid diperoleh pada 25 Mac 2021 daripada https://gpsbestari.com/mobile/artikel/rencana/ini-yang-perlu-cikgu-cikgu-lalui-bila-mengajar-di-sekolah-kurang-murid-1.829178Slide.

2) Chitiramathie Manikam. Kelemahan sekolah kurang murid (SKM). Diperoleh pada 25 Mac 2021 daripada https://id.scribd.com/doc/140295982/Kelemahan-Sekolah-Kurang-Murid.

3) Berita Harian, (2019). Kaji-rasional-sekolah-kurang-murid. Diperoleh daripada 
 https://www.bharian.com.my/rencana/muka10/2019/607706/kaji-rasional-sekolah-kurang-murid






   
   
   

 

 

 


 

 NUR HAFIZAH BINTI MAT YAZI (D20201095604)  KUMPULAN D     Nama Pensyarah : Professor Madya Dr.Norwaliza Binti Abdul Wahab  TAJUK : Pengurus...